Memuliakan Ahli Baitnya Rasulullah s.a.w. Dan Menerangkan Keutamaan Mereka
Allah Ta'ala berfirman:
"Sesungguhnya Allah menghendaki akan menghilangkan kotoran daripadamu semua, hai ahlul bait - yakni keluarga Rasulullah - dan membersihkan engkau semua dengan sebersih-bersihnya." (al-Ahzab: 33)
Keterangan:
Ahli bait
Rasulullah s.a.w., yang di dalamnya termasuk pula zurriyah atau keturunannya
dan yang dalam hukum Agama Islam sama sekali tidak boleh diberi sedekah dan
mereka pun haram pula menerimanya apabila diberi, di negeri kita pada umumnya
diberi nama "Sayyid" bagi yang lelaki dan "Sayyidah" bagi
yang wanita. Golongan sayyid atau sayyidah itu adalah dari keturunan Sayyidina
Hasan r.a. Adapun
jika dari keturunan Sayidina Husain r.a., maka diberi nama "Syarif"
bagi yang lelaki dan "Syarifah" bagi yang perempuan. Makna sebenarnya,
sayyid adalah pemuka dari kata Saada Yasuudu, ertinya mengepalai atau
mengetuai, sedang Syarif ertinya adalah orang yang mulia dari kata Syarufe Yasyrufu,
maknanya mulia.
Dalam Hadis yang
tertera di bawah ini tercantum suatu anjuran kepada kita semua, agar kita
memuliakan kepada golongan mereka, tetapi ini tidak bererti bahwa kita tidak
perlu memuliakan kepada golongan selain mereka itu. Perihal penghormatan
terhadap siapa pun juga manusianya, tetap wajib. Jadi dalam hal penghormatan
sama sekali tidak ada diskriminasi atau perbezaan, baik mengenai caranya,
menemui atau berhadapan dengannya dan lain-lain lagi. Jadi jikalau di antara
golongan mereka ada yang meminta supaya dimuliakan lebih dari golongan selain
mereka, maka hal itu tidak dapat dibenarkan, sebab manusia yang termulia di
sisi Allah hanyalah yang terlebih ketaqwaannya kepada Allah Ta'ala itu belaka.
Sebahagian
golongan ada yang menggunakan ayat di bawah ini sebagai nash atau dalil bahawa
Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh ummatnya agar keturunan beliau s.a.w. lebih
dimuliakan, lebih dihormati dan dialu-alukan daripada golongan lainnya. Ayat
yang digunakan pedoman itu ialah yang berbunyi:
"Katakanlah -
wahai Muhammad! Untuk ajakan itu, aku tidak meminta upah atau bayaran kepadamu
semua, melainkan kekasih sayangan terhadap keluarga". (asy-Syura:23)
Oleh sementara
golongan, keluarga yang wajib dikasih-sayangi ialah keluarga Rasulullah s.a.w.,
dengan makna bahawa mereka yang diberi nama Sayyid, Sayyidah, Syarif atau
Syarifah itu wajib lebih dimuliakan dan dihormati melebihi yang lain. Jadi
makna Al-qurbaa dikhususkan kepada keturunan Sayidina Hasan dan Sayidina
Husain radhiallahu 'anhuma yang keduanya itu putera Sayidina Ali r.a. dan
isterinya bernama Sayidatina Fathima radhiallahu 'anha yakni puteri Rasulullah
s.a.w. Tetapi beberapa ahli tafsir menjelaskan bahawa makna dari lafaz Alqurbaa
itu bukan dikhususkan untuk golongan keturunan Sayidina Hasan serta
Sayidina Husain r.a. itu saja. Baiklah kita meneliti sejenak apa yang
dijelaskan dalam Ash-Shawi, sebuah hasyiyah dari Tafsir Jalalain dan
hasyiyah atau kupasan tersebut ditulis oleh Imam Ahmad ash-Shawi al-Maliki. Di
antara kupasannya mengenai lafaz Alqurbaa beliau berkata:
"Para ahli
tafsir sama berselisih pendapat dalam memberikan makna ayat ini," yang dimaksudkan
ialah "kasih-sayang pada keluarga, sehingga jumlah pendapat itu menjadi
tiga macam. Selanjutnya secara ringkasnya beliau menyatakan:
(a) Kekeluargaan.
(b) Kerabat
atau rasa kefamilian antara seluruh kaum muslimin.
(c)
Mentaqarrubkan atau mendekatkan diri
kepada Allah dengan melaksanakan
amal perbuatan yang baik dan diredhai
olehNya.
Jadi kalau yang
digunakan menurut bahagian (a) yakni yang pertama, maka benarlah bahawa
zurriyah Nabi s.a.w. itulah yang dimaksudkan, sebagaimana juga tertera dalam
Hadis di bawah ini, iaitu no. 345.
Namun demikian,
kalau ada yang mengatakan bahawa golongan mereka itu adalah manusia suci dari
dosa, ataupun sudah pasti masuk syurga, atau pada akhir hayatnya pasti
memperolehi husnul khatimah atau lain-lain yang bukan-bukan, maka sama sekali
tidak dapat diterima, sebab, memang tidak ada keterangan dalam al-Quran atau
Hadis yang terjamin kebenarannya, sebab suci atau terjaga dari dosa (ma'shum
minadz-dzunub) hanyalah para Nabi 'alaihimush shalatu wassalam, sedangkan masuk
syurga ataupun memperolehi husnul khatimah adalah semata-mata di dalam
ketentuan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Sesudah kita
meninjau salah satu kitab tafsir yang ditulis oleh angkatan tua, kini marilah
kita meneliti apa yang ditulis oleh salah seorang ahli tafsir dari angkatan
sekarang atau dalam abad kita ini, iaitu seorang Sayyid juga yang bernama Sayid
Quthb dalam kitabnya yang bernama Fi-Dhilalil Quran yang ertinya
"Di bawah naungan al-Quran." Keringkasan dari huraian beliau itu
adalah sebagai berikut:
"Dalam
menyampaikan agama Allah yakni Agama Islam kepada ummatnya yang dimulainya
dengan golongan kaum Quraisy, Nabi s.a.w. mendapat banyak tentangan dan
permusuhan, beliau s.a.w. disakiti dan lain-lain. Padahal yang melakukan
penganiayaan sedemikian itu adalah kaumnya sendiri, kaum Quraisy yang terdiri
dari berbagai bathn atau perkampungan, padahal dalam setiap bathn dari
golongan kaum Quraisy itu beliau pasti mempunyai ikatan kekeluargaan. Jadi yang
diharapkan oleh beliau s.a.w. hendaklah mempunyai rasa kasih-sayang sebab toh
juga masih ada ikatan kekeluargaan yakni Alqurbaa.
Sayid Quthb tidak
memberikan ulasan selain yang diringkaskan di atas itu.
Wallahu A'lam
bish-shawaab.
Sumber : DorrotunNasihin Bab
"Memuliakan Ahli Baitnya Rasulullah s.a.w. Dan
Menerangkan Keutamaan Mereka"
0 komentar:
Posting Komentar